Malam ini di Surau Al-Hikmah program Maal Hijrah berjalan dengan jayanya, Alhamdulillah. Sebelum masuk maghrib tadi, jemaah semua hampir 40 orang berdoa dengan doa akhir tahun dan sejurus selepas solat maghrib semua jemaah juga berdoa dengan doa awal tahun.
Selepas doa tersebut Ustaz Abdul Kadir mengambil tempat di hadapan dewan solat untuk memulakan tazkirah beliau mengenai Hijrah Akhlak dan Sikap. Ustaz memulakan dengan Bismillahirohmanirohim… Assalamualaikum kepada semua muslimin dan muslimat…..dan juga selawat keatas Junjungan Nabi SAW.
Secara ringkasnya Ustaz memulakan tazkirah dengan menerangkan bahawa pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan‘ atau ‘dipantang‘, iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al-Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.
Roh Maal Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap.
Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.
Jadi tahun ini Ustaz meminta semua jemaah mempunyai fikir bagaimana, golongan remaja kita, yang merupakan golongan pelapis, merupakan aset negara dan agama untuk memacu ummah kepada kehidupan yang di redhai oleh Allah SWT, mereka dapat berhijrah daripada kehidupan yang lalai, berfoya-foya, berseronok-seronok kepada kehidupan Islam yang sejati yakni taat segala perintah Allah SWT sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Ustaz berkata jika kita semua jemaah sudah tiada nanti siapa yang bakal bercakap di depan minbar, siapa yang bakal menjadi imam, siapa yang akan melakukan kerja-kerja dakwah jika golongan muda hari ini kita tidak pupuk mereka supaya berhijrah kepada kehidupan Islam yang sejati. Bukan Islam hanya di luaran sahaja tetapi Islam yang tersemat kukuh di dalam hati dan sanubari.
Sebagaimana kita berdoa tadi dengan doa awal tahun, “…..Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia….” maka kita kena azam sempena Awal Muharram ini, kita akan mejadi Insan yang lebih baik dan di redhai oleh Allah SWT pada tahun ini dan juga tahun, tahun yang mendatang.
Ustaz menekankan pokok pangkalnya, jika kita berusaha untuk ke arah kebaikan, maka kesudahannya pasti menjurus kepada kejayaan. Begitulah sebaliknya, jika kita tiada perancangan rapi dan terus membiarkan diri leka dan alpa, pasti kita menemui kegagalan.
Saidina Umar radhiaallahu taala huanhu mengungkapkan kata yang bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini”.
Awal Muharam adalah bulan pertama yang menjadi titik tolak bagi melakukan penghijrahan hati, minda dan mengubah tabiat buruk kepada acuan hidup yang diredhai.
Peristiwa hijrah juga menarik bukan kerana sejarahnya, tetapi bagaimana ‘pelancaran’ strategi dijalankan secara bijak dan terancang. Peristiwa berkenaan juga membuktikan Nabi Muhammad SAW turut sama-sama berkorban mengharungi segala kepayahan berkenaan. Jika diikutkan ‘statusnya’ sebagai kekasih Allah, Baginda boleh saja membuat pelbagai permintaan untuk menyelesaikan segala tugas sukar yang dihadapi itu dengan mudah. Walaupun sudah lebih seribu tahun lamanya peristiwa itu berlalu, ia akan tetap dikenang sebagai lambang kejayaan.
Kita jangan hanya berbangga dilahirkan Islam, menggunakan nama Islam, tetapi tidak menjiwai watak seorang Muslim sejati. Oleh itu, tahun baru Islam ini ianya perlu disambut dengan penuh keazaman serta komitmen untuk menjalani kehidupan sebagai umat Islam yang berkualiti dan mampu menjadi contoh kepada yang lain.
Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah bermula dengan membina masyarakat yang berakhlak mulia. Hanya dengan sifat dan akhlak mulia saja mampu menjamin kepada perpaduan. Hadis yang diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Itulah penting sekali setiap daripada kita menyemai rasa dan sifat yang menonjolkan peribadi mulia supaya dapat membentuk masyarakat yang hebat tamadunnya. Contohnya sudah ada. Siapa? Para Sahabat radiaallahuanhum.
Sementara itu, sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Daud dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik”.
Ayuh jemaah Al-Hikmah semua, kita luruskan saf untuk kita terus bergerak terus untuk membentuk diri kita menjadi lebih baik supaya diri kita, keluarga kita menjadi asbab untuk orang lain menjadi baik, kemudian seluruh umat SS18 menjadi contoh umat terbaik, seluruh Subang Jaya menjadi contoh masyarakat terbaik, penduduk seluruh Selangor, seluruh Malaysia, dan akhir sekali seluruh umat di seluruh alam menjadi baik atas usaha kecil yang kita lakukan terhadap diri kita sendiri di Al-Hikmah. Tiada yang mustahil kerana hidayah itu kuasa mutlak Allah SWT. Kita cuba berusaha dan Allah yang melaksanakannya. Amin Ya Rabbal Alamin.
Kemudian di akhir tazkirah Ustaz Abdul Kadir, beliau mengajar kita mengenai satu doa. Doa yang diturun untuk Abu Bakr radiaallahu taala huanhu. Doa yang amat baik untuk semua ibubapa doakan untuk anak-anak mereka. Ustaz kata cuba kita hafal dan amalkan doa ini dan insyaAllah hajat kita akan terlaksana dengan izin Allah SWT.

Quran Explorer – [Sura : 46, Verse : 15 - 15]
Ayuh kita amalkan apa yang kita dengar hari ini, dan kita sampaikan kepada rakan-rakan dan keluarga kita, insyaAllah.


[...] I received from a friend. Parents should cite this doa to their children. He posted it up on the Surau AlHikmah Subang Jaya website. I hope this coming year brings everyone more barakah and rahmah. [...]
[...] e-book: Purify Your Gaze Komen TerkiniMaal Hijrah. More Than Just A New Year's Day on Hijrah akhlak dan sikapalhikmah on Hebat Solat Malamaziran on Hebat Solat Malamalhikmah on Hamba [...]
[...] Kerana puasa itu dilakukan pada 9 haribulan Muharram. Perkara ini telah di sentuh oleh Ustaz Abdul Kadir dalam kuliah [...]
[...] lepas di masa yang sama, artikel ini, hijrah akhlak dan sikap, di muat naik oleh Al-Hikmah. Baca, amalkan dan sampaikan:PrintEmail Tagged with 10 [...]