Kau rasa apa yang aku rasa?

Sahabat-sahabatku semua…Assalamualaikum ku ucapkan…

Adakah “kau rasa apa yang aku rasa?”…satu ungkapan untuk menyatakan kecintaan kita. Hari ini Al-Hikmah nak nukilkan mengenai Cinta…yakni cinta yang hakiki. Sungguh betapa banyak nikmat Allah kepada kita. Dari mula kita lahir ke dunia hingga sekarang, nikmat Allah tidak pernah berhenti mengalir kepada kita. Dari mula bangun tidur sampai tidur kembali, nikmat Allah selalu tercurah. Bahkan, ketika tidur pun nikmat itu tetap ada. Setiap detik yang kita lalui, nikmat Allah tidak pernah putus menghampiri kita. Kerana sangat banyaknya nikmat itu, mustahil kita mampu menghitungnya. Kewajipan kita sekarang hanya satu, iaitu mensyukurinya. Dengan bersyukur, hidup kita akan semakin bahagia dan beruntung. Sebaliknya, dengan mengkufuri nikmat, hidup kita akan semakin sengsara dan penuh dengan kesulitan.

Alhamdulillah….terima kasih Ya Rabb Ya Rahman Ya Rahim. Diri aku yang kurang ini masih diberikan ruang dan peluang untuk menikmati nikmatMu yang sangat agung dan luar biasa iaitu nikmat ihsan, iman dan islam. DariMu aku ini datang, dan kepadaMu jua aku akan kembali Ya Rabb. Sentiasa sedar akan Dia setiap saat dan ketika. Serahkan diriku yang dhaif ini 100% kepadaNya kerana tiada daya dan upaya serta kekuatan diriku ini melakukan taat dan menghindarkan diri dari maksiat melainkan dengan izinMu jua Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.

Ya Allah Yang Maha Pencinta, bimbinglah dan pandulah diriku agar sentiasa menyerahkan segala urusanku kepadaMu. Dengan namaMu Ya Allah, aku serahkan segala urusanku dan aku bertawakal kepadaMu. Lepaskan cinta dunia yang ada di dalam jiwaku ini agar aku dapat menikmati cinta hakiki dariMu Yang Maha Pencinta. Buangkanlah dan hancurkanlah serta bunuhlah segala berhala yang berada di dalam jiwa dan hatiku ini agar aku dapat meletakkan diriku yang kecil ditempatnya yang sebenar. Bantulah diriku ini Ya Allah agar aku tidak menzalimi diriku sendiri dengan tidak meletakkan sesuatu itu bukan ditempatnya. Jadikanlah diriku ini Ya Allah agar menjadi insan yang adil yang meletakkan sesuatu amanahMu itu berada di tempatnya yang sebenar dan haq. Ya Allah Yang Maha Adil bantulah diriku Ya Allah kerana aku tidak mampu melakukannya tanpa bantuanMu. Jangan biarkan diriku membuat keputusan tanpa merujuk kepadaMu. Segala keputusanMu yang telah Engkau aturkan kepadaku adalah yang terbaik untukku.

cinta yang hakiki

Hari demi hari aku diajarkan olehMu Ya Allah agar melepaskan diri dari cengkaman dunia ini. Sedikit demi sedikit, aku belajar untuk melepaskannya Ya Allah. Melepaskan apa yang kita sayang amat sukar bagi diriku tapi itulah langkah terbaik untuk kembali menjadi diri aku yang asli. Amalkanlah amalan sedekah dan memberi kerana di situ akan Allah anugerahkan nikmat kelapangan dan ketenangan hati yang dapat mendidik aku yang kecil ini agar sentiasa kembali kepadaMu Ya Allah Yang Maha Melapangkan. Diriku jua tahu bahawa Engkau jua Maha Menyempitkan, tetapi Ya Allah Yang Maha Melapangkan, lapangkan kesempitan yang aku hadapi ini kerana aku yakin dan percaya Engkau Ya Allah Yang Maha Melapangkan segala kesempitan hidup kami ini. Lapangkanlah hati kami ini dalam menjalani kehidupan di dunia ini kerana hanya Engkaulah Ya Allah Yang Maha Melapangkan dan Maha Memudahkan segala kesempitan dan kesukaran.

Aku yang dhaif ini hanya menurut aturan dan perintah yang telah Engkau tetapkan untukku. Jadikanlah diriku agar sentiasa menyerahkan segala urusanku ini secara total kepadaMu. Jangan Ya Allah Engkau biarkan diriku ini membuat keputusanku sendiri tanpa merujuk terlebih dahulu kepadaMu. Aku ini jua tahu segala ketentuanMu adalah yang terbaik. Aku ini menerima segala keputusanMu dan ketentuanMu dengan berlapang dada.

Bantulah diriku ini Ya Allah…..perbetulkanlah niatku setiap saat dan setiap ketika melakukan sesuatu pekerjaan itu hanyalah keranaMu Ya Rabb. Ikhlaskanlah diriku ini agar sentiasa menyerahkan segala pekerjaanku ini hanya keranaMu. Latihlah diri aku ini agar melakukan segala yang terbaik untuk aku serahkan secara total kepadaMu.

Permudahkanlah Ya Allah Yang Maha Memudahkan segala urusanku ini. Aku ini hanya melakukan apa yang terbaik untuk mengecap erti bahagia dan dapat membahagiakan insan-insan tersayang yang berada bersamaku. Kerana aku yang kerdil ini tahu hanya Engkaulah Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim yang dapat memberikan erti dan nikmat bahagia itu kepada makhluk yang Engkau ingin berikan bahagia itu.

Jadikanlah diriku ini agar sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Engkau sentiasa berikan kepadaku. Jadikanlah juga diriku agar sentiasa redha dengan ujian yang Engkau anugerahkan kepadaku. Jadikanlah diriku ini agar sentiasa bahagia dan dapat membahagiakan insan-insan yang berada disekelilingku.

Terima kasih Ya Rabb Ya Rahman Ya Rahim yang mengalirkan nikmat cinta, kasih dan sayangku ini kepada diriku ini agar aku dapat menikmati erti bahagia dan membahagiakan itu. Pancarkanlah kebahagiaan dihatiku ini agar terpancar jua diwajahku agar kebahagiaan itu dapat aku kongsikan bersama insan-insan yang berada disekelilingku. Jadikanlah senyuman yang terpancar diwajahku itu suatu sedekah yang dapat aku berikan dengan penuh rasa ikhlas dan diserahkan secara total kepadaMu dan menjadikan diriku sentiasa rasa bahagia dan membahagiakan.

Terima kasih Ya Allah Yang Maha Pencinta kerana menyayangi, mengasihi dan mencintai diriku yang serba tak tahu ini. Pimpinlah diriku ini agar sentiasa kembali kepadaMu setiap saat dan setiap ketika. Bantulah diriku ini Ya Allah agar sentiasa bersedekah untuk membersihkan jiwaku dan menjadikan diriku ini agar sentiasa kembali kepadaMu. Bantulah jua diriku Ya Allah agar dapat melakukan puasa sunat setiap Isnin dan Khamis supaya dapat mendidik jiwa ini kembali kepada fitrahnya yang suci Wahai Ya Allah Yang Maha Suci. Bersihkanlah diriku ini Ya Allah luaran dan dalaman agar aku ini dapat kembali kepadaMu dengan tenang. Aku yang serba kekurangan ini ingin sentiasa kembali kepadaMu dalam keadaan yang Engkau redhai.

Terima kasih Ya Rabb…

Didiklah dan ajarilah aku Ya Rabb…

Jangan Kau lupakan aku Ya Rabb….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title="" rel=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge